JANUARI 2023

Kerajaan Sarawak Komited Bangunkan Gedong, Samarahan, Simunjan


GEDONG: Kerajaan Sarawak komited untuk membangunkan Gedong, Samarahan serta Simunjan, menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

Sehubungan itu katanya, kerajaan Sarawak akan membina jalan bagi menghubungkan Serian dengan Gedong selain membangunkan kawasan komersial di situ. 

“Jalan baru yang menghubungkan Serian dan Gedong sepanjang 19 Kilometer iaitu jalan raya berkembar. 

“Manakala Gedong ke Samarahan iaitu 74 kilometer yang akan menghubungkan Gedong-Samarahan-Serian dan jalannya mempunyai empat laluan serta laluan untuk Transit Aliran Autonomi (ART). 

“Ia bermakna jalan ART ke Serian akan menghubungi Gedong hingga ke Samarahan dan terus ke Rembus di mana kita ada depo ART,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Lawatan Kerja Premier Sarawak ke Daerah Gedong di Tapak Projek Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong dan Tapak Projek Mini Isthmus Gedong pada Sabtu. 

Jelasnya lagi, jalan ini dijangka akan dibangunkan dalam masa 48 bulan iaitu mengambil masa empat tahun akan datang. 

Tambahnya, keseluruhan kawasan ini yang merupakan kawasan pertanian akan dibekalkan dengan sistem parit dan tali air Jabatan Pengairan dan Saliran (DID). 

“Ia akan dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan kita akan memberi peruntukan untuk RISDA membangunkan DID,” ujarnya. 

Dalam pada itu katanya lagi, Hulu Simunjan akan dihubungkan dengan Gedong melalui jalan Gedong, Semalatong yang akan mula dilaksanakan dalam tahun ini iaitu dan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan.  

“Sudah tentu pembangunan infrastruktur ini akan memberikan kemudahan bagi kita membangunkan kawasan kebun-kebun sebagai kawasan pertanian yang moden menggunakan smart agriculture,” katanya lagi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Ir Aidel Lariwoo, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Wakil Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong Datuk Mohd Naroden Majais serta dif-dif kehormat yang lain. – EDISI UKAS

Sumber dari : Sarawakku